Setiap tahun Yayasan ANGKASA mengadakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dan Anugerah Pelajar Cemerlang (Ijazah Kelas Pertama )
Pembiayaan Pendidikan Yayasan ANGKASA (PPYA) Sesi 2023/2024 bagi meraikan pelajar yang memperolehi kelas pertama. Pada tahun 2024, majlis telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Ewon Benedick bertempat di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz dan turut dihadiri oleh Presiden Yayasan ANGKASA merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr.Abdul Fattah Hj. Abdullah. Beliau memuji usaha Yayasan ANGKASA atas pencapaian dan fungsi yang telah dilaksanakan sepanjang dua dekad (2000-2024) dalam memartabatkan pendidikan warga koperasi dan anak-anak warga koperasi serta menyeru 100 Koperasi Terbaik Malaysia untuk turut serta menyumbang dana kepada Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA sebagai usaha menyokong pembangunan modal insan dan taraf pendidikan warga koperasi di negara ini.
Seramai 193 orang pelajar menerima Pembiayaan Pendidikan Yayasan ANGKASA bagi sesi 2023/2024 melibatkan peruntukan pembiayaan sebanyak RM2,438,900.00
Berdasarkan rekod dari tahun 2000 hingga 2023, Yayasan ANGKASA telah menaja 1,699 orang pelajar di pelbagai peringkat dan bidang pengajian dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM32,233,335.70 dan daripada jumlah itu sebanyak RM11,148,262.00 ditukar kepada biasiswa.
Pada majlis sama turut menyaksikan Sesi Penyampaian Penghargaan kepada Penyumbang Dana Pendidikan Yayasan ANGKASA sebagai menghargai sumbangan mereka terhadap usaha menyokong pembangunan modal insan dan taraf pendidikan warga koperasi di negara ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Encik Rusli Jaafar, Ketua Eksekutif merangkap Naib Canselor Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Dato’ Dr. Azali Mohamed, Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya, barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA, barisan Anggota Lembaga ANGKASA, barisan Pengerusi ANGKASA Negeri dan Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Puan Haslinda Ahmad.
Bagi menghargai pencapaian pelajar pembiayaan pendidikan Yayasan ANGKASA yang mendapat keputusan Ijazah Kelas Pertama, pembiayaan ditukarkan kepada Biasiswa Penuh, pemberian trofi, sumbangan wang tunai serta sijil penghargaan. Ini bertujuan menyuntik semangat pelajar baru supaya belajar bersungguh-sungguh supaya memperolehi anugerah seperti ini.