Kelana Jaya, 14 Januari 2023 – Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Anugerah Pelajar Cemerlang (Ijazah Kelas Pertama & Lulus Cemerlang) Pembiayaan Pendidikan Yayasan ANGKASA Sesi 2022/2023 telah dirasmikan oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), YBrs. Tuan Rusli Jaafar bertempat di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz dan juga Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik. Beliau memuji usaha Yayasan ANGKASA di atas pencapaian dan fungsi yang telah dilaksanakan sepanjang dua dekad (2000-2023) dalam memartabatkan pendidikan warga koperasi dan anak-anak warga koperasi serta menyeru 100 Koperasi Terbaik Malaysia untuk turut serta menyumbang dana kepada Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA sebagai usaha menyokong pembangunan modal insan dan taraf pendidikan warga koperasi di negara ini.
Seramai 194 orang pelajar menerima Pembiayaan Pendidikan Yayasan ANGKASA bagi sesi 2022/2023 melibatkan peruntukan pembiayaan sebanyak RM2,556,300.00 termasuk 13 orang penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (Ijazah Kelas Pertama & Biasiswa Penuh) Kategori Sepenuh Masa dan lima orang penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (Lulus Cemerlang) Kategori Pengajian Jarak Jauh (PJJ). Berdasarkan rekod dari tahun 2000 hingga 2022, Yayasan ANGKASA telah menaja 1,506 orang pelajar di pelbagai peringkat dan bidang pengajian dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM29,794,435.70 dan daripada jumlah itu sebanyak RM10,352,679.50 ditukar kepada biasiswa.
ANGKASA adalah penyumbang utama kepada Yayasan ANGKASA dengan jumlah sumbangan RM1.5 juta setiap tahun. MBSB Bank Berhad pula adalah penyumbang platinum dengan jumlah sumbangan RM200 ribu yang dihadiri oleh YBrs. En. Jesleigh bin Johari, Ketua Pegawai Operasi dan diikuti penyumbang emas daripada MyANGKASA Amanah Berhad dengan jumlah sumbangan RM150 ribu bagi tahun 2022. Koperasi NLFCS turut menyumbang diikuti Koperasi Coop-bank Pertama yang dihadiri oleh Pengerusi, YBhg. Datuk Baharom bin Embi dan Koperasi Kakitangan Bank Simpanan Nasional yang dihadiri oleh Pengerusi, YBrs. En. Hamzah bin Haji Ibrahim. Sumbangan telah disalurkan kepada pelajar serta anak-anak anggota koperasi demi memastikan misi memperkasa taraf pendidikan di samping menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial ANGKASA kepada gerakan koperasi negara. Turut hadir Pengerusi Koperasi Angkatan Tentera Malaysia, YBhg. Brig Jen Roba’i bin Rahmat dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBrs. En. Mohd Ghazali bin Abbas serta Anggota Lembaga Koperasi Polis Diraja Malaysia, SM Salman bin Mohd Daud. Penghargaan ini adalah sebagai menghargai sumbangan yang mereka salurkan melalui Dana Pendidikan Yayasan ANGKASA.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA terdiri daripada YBhg. Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, YBhg. Datuk Haji Md Yusof Samsudin, YBhg. Datuk Ahmad Jamil Hashim dan Tuan Haji Nasir Khan Yahaya manakala barisan Anggota Lembaga ANGKASA terdiri daripada YBhg. Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Encik Azizul Alias (Wakil Kementerian Pembanguan Usahawan & Koperasi) dan Puan Suzana Alias (Wakil Kementerian Kewangan) serta Pengerusi Perhubungan ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Haji Mohd Jamil Othman dan mantan Pengerusi Eksekutif SKM, YBhg. Dato’ Haji Zazali Haron.
Bagi menghargai pencapaian pelajar pembiayaan pendidikan Yayasan ANGKASA yang mendapat keputusan Ijazah Kelas Pertama, pembiayaan ditukarkan kepada Biasiswa Penuh, pemberian trofi, sumbangan wang tunai serta sijil penghargaan. Ini bertujuan menyuntik semangat pelajar baru supaya belajar bersungguh-sungguh supaya memperolehi anugerah seperti ini.